Hadi pakai jaket logo PAS ketika mengundi?

0
2

BADAN pemantau pilihan raya BERSIH, menggesa pihak berkuasa menyiasat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang didakwa memakai rompi (jaket tanpa lengan) yang memaparkan logo parti itu ketika mengundi pagi tadi.

Pengerusi BERSIH, Thomas Fann, berkata perbuatan Abdul Hadi itu jelas satu kesalahan pilihan raya kerana apa-apa pakaian dengan simbol atau logo parti di dalam pusat mengundi adalah dilarang.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis harus menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan.

“Mengikut Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, pengundi tidak dibenarkan memakai, memegang atau membawa sebarang bentuk pakaian atau barangan yang memaparkan nama calon, lambang atau simbol mana-mana parti politik semasa mengundi atau dalam lingkungan 50m dari pusat mengundi.

“Sesiapa yang melanggar peraturan itu boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, denda tidak lebih RM5,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya seperti dilaporkan portal FMT.

Terdahulu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) selesai membuang undi di Pusat Pembuangan Undi (PPU) Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila, Marang.

Calon PN Parlimen Marang itu ditemani isterinya, Toh Puan Seri Zainab Awang Ngah serta anak, Dr Muhammad Khalil.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Abdul Hadi dicabar calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman, Azhar Abdul Shukur (PH) serta Dr Zarawi Sulong (GTA). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here