3 meninggal ketika mengundi

0
2

TIGA individu dilaporkan meninggal dunia ketika sedang beratur untuk membuang undi di Kelantan dan Johor, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, satu kes dilaporkan di Kota Bharu, Kelantan, manakala dua lagi kes dilaporkan di Johor.

“Selain itu, ada satu insiden kekecohan membabitkan seorang lelaki berusia 27 tahun yang merampas dakwat serta menolak peti undi sehingga jatuh di sebuah pusat mengundi di Ulu Yam, Hulu Selangor.

“Semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod sebagai pesakit mental,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Sementara itu, Acryl Sani berkata, beliau sempat melakukan tinjauan di empat pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Amanpuri, Damansara; SK Intan Baiduri, Kepong; SK Setapak Indah dan SK Sungai Kertas, Sri Gombak.

“Berdasarkan tinjauan dilakukan, saya mendapati pengundi berpusu-pusu keluar menunaikan tanggungjawab pada sebelah pagi menyebabkan keadaan beberapa pusat mengundi mengalami kesesakan.

“Bagaimanapun, kesesakan di beberapa lokasi mula reda sejak 10.30 pagi tadi ada tempat (pusat mengundi) tidak lagi perlu beratur di luar premis,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan keadaan agak lengang di pusat mengundi menjelang petang ini memandangkan ramai pengundi sudah menunaikan tanggungjawab pada sebelah pagi.

“Meskipun keadaan sesak pada sebelah pagi, namun ia terkawal sekali gus memperlihatkan masyarakat adalah matang dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh berhemah, tenang dan tenteram,” katanya.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan pihak polis menjelang pengumuman keputusan malam ini, beliau meminta semua pihak supaya menerima apa jua keputusan diumumkan.

“Kita sudah bersedia untuk menangani apa juga situasi bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here