MESKIPUN sibuk dengan jadual penggambaran, namun, pelakon Azhan Rani tidak melupakan tanggungjawab mengundi pada hari ini.
Malah, beliau turut membawa ibunya yang uzur, Salmah Budin, 76, untuk keluar mengundi menggunakan kerusi roda.
“Geng 1 calit…dah menang tolong jaga Malaysia betul-betul. Kalau tak cucuk mata dengan jari ini,” katanya dalam hantaran dimuat naik dalam Instagram hari ini.
Sementara itu, menurut Berita Harian, biarpun pulang ke rumah, jam 3 pagi, namun Azhan tetap bersemangat ‘menolak’ ibunya ke pusat pengundian di Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor.
“Saya memilih pergi mengundi lebih awal kerana bimbang sukar mendapatkan tempat letak kereta dan mengelak daripada kesesakan orang ramai sekiranya keluar lewat.
“Walaupun sampai ke rumah daripada penggambaran jam 3 pagi, saya tetap keluar awal kerana bimbang terpaksa beratur panjang,” katanya.
Mengulas harapannya untuk PRU15, pelakon filem KL Zombie itu tidak mengharapkan apa-apa melainkan kerajaan dipilih akan bertahan.
“Harapan saya PRU15 boleh bertahan sehingga lima tahun dan berharap tidak banyak ‘drama’ berlaku,” katanya. – Malaysiapost

