WALAUPUN kebanyakan pusat mengundi di seluruh negara hujan, namun ia tidak menjejaskan orang ramai menunaikan tanggungjawab mereka pagi ini.
Sehingga jam 10 pagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 20 peratus sudah keluar mengundi sejak mula dibuka pagi tadi.
Berdasarkan tinjauan Malaysiapost, proses pengundian setakat ini berjalan lancar dan teratur di seluruh negara dengan setiap pengundi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan SPR.
Proses itu lancar termasuk bagi pengundi baharu, selain setiap pengundi tidak dibenarkan membawa masuk telefon bimbit ketika mengundi.
Petugas SPR dan keselamatan juga dilihat sedia membantu pengundi selain menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kerusi roda bagi memudahkan pergerakan warga emas dan orang kurang upaya.
SPR turut menyediakan kenderaan perantara atau ‘shuttle’ di pusat mengundi terpilih bagi memberi keselesaan kepada pengundi yang terpaksa memakir kenderaan mereka jauh dari pusat mengundi.
Proses pengundian PRU15 bermula secara rasmi pada 7.30 pagi ini di Sabah, Sarawak dan Labuan manakala di Semenanjung Malaysia bermula 8 pagi.
Turut diadakan serentak ialah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bugaya, Sabah yang tertangguh berikutan proklamasi darurat bagi mencegah penularan Covid-19.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan untuk PRU15 mengandungi 21,173,638 orang pemilih yang terdiri daripada 20,853,681 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan dan 2,741 orang pengundi tidak hadir luar negara. – Malaysiapost

