Nurul Huda Abhar
EKONOMI negara tidak akan dapat dipulihkan jika Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) mentadbir Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata malah pelabur asing akan terus menjauhkan diri dari melabur di Malaysia seperti yang terjadi selama 22 bulan pentadbiran PH sebelum ini.
Menurutnya, pelabur asing melihat kepada polisi pentadbiran yang konsisten sebelum mengambil peluang melabur di sesebuah negara.
“Jangan jadi seperti PRU14. Setiap pelabur yang melihat Malaysia perlu ada polisi yang konsisten, perlu ada kepimpinan yang stabil.
“Apa yang terjadi ketika PRU14 adalah satu alert (peringatan) daripada pelabur-pelabur,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost hari ini.
Mohd Razlan berkata, Malaysia mungkin mengalami kemalapan ekonomi sekali lagi seperti yang terjadi ketika PH memerintah selepas memenangi PRU14 pada 2018.
Katanya, krisis ekonomi yang menjejaskan pasaran saham negara sehingga mengakibatkan pelabur menarik diri adalah ‘pengalaman buruk’ yang tidak boleh berulang.
“Saya jangkakan sekiranya PH menang kita akan hadapi masalah yang sama iaitu stock market (pasaran saham) akan turun, pelabur akan lari.
“Pastinya.. pada Isnin (selepas PRU15) kita akan lihat stock market kita akan menjunam kalau PH menang,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata pihak yang mentadbir negara selepas ini seharusnya membina kembali keyakinan pelabur asing bagi mengukuhkan semula ekonomi Malaysia selepas pasca Covid-19.
Tegasnya, ciri-ciri itu sama sekali tidak terlihat dalam PH berdasarkan pengalaman mentadbir negara selama 22 bulan sebelum ini.
“Sebab PH tiada polisi yang bagus dan tidak boleh mentadbir negara dengan stabil. Pelabur masih dibelenggu dengan pengalaman 22 bulan.
“Apa PH yang lakukan sebelum ini, tidak akan meyakinkan pelabur-pelabur malah mereka merosakkan lagi polisi ini,” katanya. – Malaysiapost

