UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyediakan 50 bas bagi memudahkan 2,040 pelajar universiti itu di kampus Gombak pulang mengundi ke bermula semalam.
Inisiatif di bawah program ‘Ops Mahasiswa UIAM Pulang Mengundi’ itu digerakkan Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Libatsama Komuniti) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan dan Hal Ehwal Pelajar, Kesatuan Pelajar dan Kelab Sahabat Anak Malaysia.
UIAM menerusi kenyataan berkata bagi pelajar yang pulang ke Sabah dan Sarawak, universiti itu menyediakan sebuah van dan tiga bas untuk menghantar pelajar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Sejak semalam, sebanyak 26 buah bas menuju ke destinasi Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan, manakala sebuah van dan sebuah bas membawa pelajar ke KLIA untuk ke destinasi Sabah dan Sarawak.
“Hari ini pula sebanyak 24 buah bas menuju ke Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Kelantan serta baki pelajar Sabah dan Sarawak dihantar ke KLIA,” katanya.
UIAM berkata, bas-bas berkenaan disediakan kerajaan negeri masing-masing melalui usaha sama Persatuan Anak Negeri bagi setiap negeri yang diwakili pelajar.-Malaysiapost

