PRU15: Ikmal Hisham nafi bayar pengundi luar RM350 hingga RM1,000

0
2
TANAH MERAH, 22 Ogos -- Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz ketika sidang media selepas Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanah Merah di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1 hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menafikan dakwaan beliau membayar kepada pengundi luar sebanyak RM350 hingga RM1,000 seorang.

Ikmal Hisham berkata, beliau sendiri mengetahui dakwaan itu baru-baru ini, termasuk ada yang mendakwa separuh wang berkenaan iaitu RM500 diambil di pejabatnya di Keramat, Kuala Lumpur dan bakinya di Tanah Merah, Kelantan.

“Perkara itu tidak benar kerana tiada bayaran dibuat pun. Saya sendiri pun terima macam-macam angka kononnya kita bayar kepada pengundi luar.

“Itu semua usaha-usaha untuk memburukkan saya supaya orang menjadi marah, lebih-lebih lagi pengundi luar mulai pulang ke Kelantan.

“Apa yang saya harapkan, ikhtiarkanlah pulang ke kawasan masing-masing dan buat pilihan yang dirasakan terbaik,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui ada berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung bantuan kepada pengundi luar.

“SPR dimaklumkan ianya dibenarkan namun tidak boleh menetapkan syarat kepada pengundi sama ada mesti mengundi parti tertentu, itu salah.

“Ianya sekadar bantuan wang tambang. Bagaimanapun kami belum membuat keputusan berhubung perkara itu,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan pengundi Parlimen Tanah Merah pulang menunaikan kewajipan sebagai rakyat Malaysia.

“Kita nak pilih kerajaan yang prihatin kepada rakyat dan inilah masanya. Jangan meletakkan jika ada wang tambang kita nak balik dan sekiranya tiada wang tambang, kita tidak mahu balik,” katanya.

Untuk rekod, Tanah Merah bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru apabila Ikmal Hisham yang juga penyandang kerusi bakal ditentang Mohd Bakri Mustapha (BN), Datuk Mohamad Suparadi Md Noor (PH), Mohd Nasir Abdullah (GTA) dan Datuk Nik Sephia Nik Yusoff (Bebas).

Pada PRU14, Ikmal Hisham memenangi kerusi Parlimen Tanah Merah bagi tiket BN sebelum menyertai Bersatu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here