PDRM yakin proses pengundian berjalan lancar Sabtu ini – Acryl Sani

0
2

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) siap siapa untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan berlangsung pada Sabtu ini dengan menggerakkan pelbagai elemen bagi memastikan kelancaran hari mengundi terjamin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata setakat ini proses penamaan calon telah berjalan dengan lancar walaupun terkesan beberapa insiden terpencil yang berjaya ditangani dengan baik.

Menurutnya, dalam tempoh berkempen pula keadaan keselamatan juga adalah terkawal tanpa berlaku sebarang insiden yang menggugat ketenteraman awam.

“Insya-Allah, PDRM yakin bahawa proses pembuangan undi akan berlangsung dengan lancar dan memberi jaminan bahawa segala langkah telah diambil bagi memastikan masyarakat dapat keluar menunaikan hak serta tanggungjawab sebagai pengundi dalam suasana selamat.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan sebarang berita palsu yang bertujuan membangkitkan kegelisahan dan rasa takut atau spekulasi mengenai ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PDRM akan memberi komitmen yang tinggi dalam memastikan pilihan raya kali ini berjalan dengan aman dan tenteram.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara,” tegasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here