MPN, 2 profesor tidak terbabit menamakan Anwar sebagai PM.

0
1

MAJLIS Profesor Negara (MPN) menegaskan tidak terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan kumpulan digelar Profesor Melayu G70 yang mengadakan sidang media khas semalam, menyatakan pendirian serta mengeluarkan satu deklarasi menyokong pihak tertentu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presidennya Prof Datuk Dr Raduan Che Rose, berkata pihaknya mendapati daripada 70 orang kumpulan berkenaan, terdapat sejumlah besar yang telah pencen dan tidak lagi boleh menggunakan gelaran Profesor, kecuali jika dilantik sebagai Profesor Emeritus dan merupakan ahli kepada pergerakan tertentu.

“MPN juga ingin menyatakan pendirian untuk menghormati hak individu, termasuk para profesor untuk mempunyai kebebasan bercakap dan bersuara, mengeluarkan pendapat dan buah fikiran serta berpersatuan selaras Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai sebuah pertubuhan yang mewakili para ilmuwan tertinggi negara, MPN sentiasa beriltizam dan berusaha untuk memberikan sumbangan kepakaran akademik para ahlinya dalam setiap bidang melalui saluran dan tatacara yang ditetapkan.

“Ia selaras dengan statusnya sebagai ‘pemikir negara’ dan menepati slogan MPN sentiasa bersedia berkhidmat untuk negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kepada sidang media oleh 70 ilmuwan profesor Melayu yang menyatakan pendirian melalui Deklarasi Profesor Melayu G70, memilih Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri PRU-15.

Terdahulu Jurucakap kumpulan berkenaan, Profesor Datuk Dr Ir Wan Ramli Wan Daud, dilaporkan berkata Anwar adalah satu-satunya tokoh dengan kewibawaan dan pengalaman serta integriti yang mampu memimpin masyarakat majmuk.

Dr Raduan menjelaskan, MPN adalah pertubuhan berdaftar yang bertujuan menggembeleng kepakaran akademik tertinggi negara bagi tujuan pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.

“MPN mempunyai lebih 3,000 ahli penuh yang merupakan Profesor dari universiti awam dan swasta serta lebih 7,000 Profesor Madya sebagai ahli bersekutu.

“Terdapat juga lebih 200 tokoh industri yang pakar dalam bidang masing-masing dipelawa me teratai MPN sebagai ahli kehormat,” katanya.

Sementara itu, turut tular kenyataan dua individu mendakwa nama mereka tersenarai dalam Deklarasi Profesor Melayu G70 berkenaan yang tampil menolak usaha G70 menamakan mana-mana individu sebagai Perdana Menteri.

Ishak Yusof yang juga bekas Timbalan Ketua Kluster Ekonomi Majlis MPN, berkata beliau hanya bersetuju untuk menyokong pemilihan pemimpin terbaik untuk Malaysia.

“Sebagai mantan ahli akademik tulen, saya mengambil pendirian non partisan di dalam politik dan tidak pernah menyatakan sokongan terbuka terhadap mana-mana individu untuk menjadi Perdana Menteri atau sokongan pada mana-mana parti.

“Bukanlah hasrat saya untuk menggunakan kedudukan sebagai ahli akademik cuba mempengaruhi mana-mana pihak untuk memilih pemimpin atau parti di dalam piliharaya negara yang tercinta ini. Memilihlah secara bijaksana,” katanya di Facebook dan turut memaklumkan telah bersara serta tidak lagi menggunakan gelaran Profesor.

Dalam pada itu, Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi yang merupakan Timbalan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), berkata beliau menyokong prinsip ke arah kestabilan politik, pemulihan ekonomi dan kesejahteraan umum.

“Saya tidak berada dan tidak sama sekali terlibat dengan deklarasi tersebut. Tidak pernah mengeluarkan kenyataan menyokong mana-mana pemimpin parti politik.

“Tidak tahu menahu bahawa nama saya dimasukkan dalam senarai deklarasi profesor Melayu G70,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here