Banjir: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan diaktifkan – PM

0
1

KERAJAAN sudah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) Kebangsaan susulan banjir yang melanda di beberapa negeri, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata JPB peringkat negeri dan daerah juga kini digerakkan bagi membantu mangsa di lokasi.

Beliau berkata, semua agensi yang terbabit seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat diarahkan untuk bersedia sekiranya keadaan menjadi semakin kritikal.

“Saya sudah memanggil mesyuarat JPB Kebangsaan yang diwakili semua agensi terbabit untuk menyelaraskan gerak kerja operasi di kawasan banjir.

“Semua agensi terbabit juga sudah bersedia untuk berdepan dengan Monsun Timur Laut yang kini baru bermula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia Peringkat Kebangsaan, di Dataran Kerayong, Bera, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, persediaan rapi perlu dilakukan di lokasi bencana bagi memastikan mangsa menerima bantuan sewajarnya daripada kerajaan.

Katanya, bencana banjir kini kebanyakan kejadian banjir kilat dan diharap tidak menjejaskan proses pengundian yang akan berlangsung Sabtu ini.

Terdahulu, beberapa lokasi khususnya di Selangor seperti Sri Muda, Bangi, Klang, Sabak Bernam di Selangor dinaiki air susulan hujan lebat, awal pagi tadi.

Hujan lebat bermula jam 1 pagi tadi menyebabkan 719 mangsa daripada 175 keluarga terpaksa dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here