Tuduh PAS Taliban, Hadi jawab dalam DAP ada komunis

0
2

PERSIDEN PAS, Tan Sri Hadi Abdul Awang mengingatkan rakyat bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan pesta untuk bersuka ria dengan aktiviti pemasangan bendera dan poster semata-mata, tetapi memilih pemimpin untuk mentadbir negara.

Justeru, beliau menegaskan pemilihan pemimpin yang tepat pada PRU15 sangat penting kerana ia akan memberi kesan jangka masa panjang untuk generasi Malaysia seterusnya.

“Pilihan raya bukan pesta untuk bersuka ria dan bukan juga sekadar hendak memasang poster dan bendera semata-mata.

“Akan tetapi, pilihan raya ialah suatu tanggungjawab pemilihan pemimpin yang akan menentukan bentuk pemerintahan negara kita, bukan untuk sehari dua, tetapi kesannya berpanjangan sehingga anak cucu kita,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, Abdul Hadi berkata, rakyat diiingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan sama sebagaimana yang berlaku pada PRU14 lalu.

“Tunaikanlah kewajipan sebaik mungkin pada PRU15 ini dengan memilih kerajaan yang bersih dan stabil,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran menerusi klip video berasingan, Abdul Hadi membidas dakwaan Kenyataan Pengerusi DAP Perak. Nga Kor Ming kononnya Malaysia akan menjadi seperti ‘negara Taliban’ sekiranya rakyat memberi undi kepada PAS dan Perikatan Nasional (BN).

“Sebenarnya dia sendiri tidak tahu apa itu Taliban. Taliban ini adalah pelajar-pelajar pondok yang menentang Amerika Syarikat.

“Apabila Amerika kalah mereka cukup marah dengan Taliban. Kerana mereka kalah dengan budak pondok yang tidak tahu ‘apa-apa’,” katanya.

Malah Abdul Hadi berkata, DAP tidak perlu menuduh PAS dengan dakwaan seumpama itu sedangkan dalam parti itu sendiri ada komunis.

“PAS sudah perintah Kelantan, Terengganu dan Kedah. Jadi tak payahlah tuduh PAS (Taliban) yang kita tahu dalam DAP ada komunis,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here