SPRM serbu kali kedua pejabat Invoke hari ini

0
1

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi menyerbu syarikat milik Rafizi Ramli, Invoke Solutions Sdn Bhd, pagi tadi.

Ia kali kedua dilakukan SPRM selepas serbuan pertama malam tadi, iaitu kurang 24 jam.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, serbuan itu dilakukan kurang sehari selepas agensi itu melakukan tindakan sama, malam tadi.

“Ketika kita sedang bercakap ini, SPRM menyerbu Invoke untuk kali kedua,” katanya dalam sidang media.

Menurut Rafizi, Jabatan Kastam turut menghantar notis memaklumkan akan berkunjung kepada pejabat Invoke dalam tempoh terdekat sebagai sebahagian siasatannya membabitkan syarikat itu.

Terdahulu, Rafizi yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan, mendakwa motif siasatan untuk ‘mencari kesalahan’ terhadapnya bagi mengurangkan sokongan pengundi kepada PH.

Rafizi berkata, buku lejar Invoke dirampas SPRM, sambil secara sinis berkata, ia adalah masa sesuai agensi itu ‘belajar menubuhkan syarikat pemula dan menilai syarikat’.

Pada ceramah malam tadi, Rafizi mendedahkan Invoke diserbu SPRM susulan laporan terhadapnya berhubung pengisytiharan aset miliknya.

Beliau berkata, beberapa dokumen dari pejabat Invoke dirampas manakala kakitangannya disoal siasat selama tujuh jam.

Minggu lalu, dilaporkan SPRM menyiasat pengisytiharan aset Rafizi selepas menerima laporan mendesak agensi itu secara terperinci menyiasat Invoke.

Rafizi mengisytiharkan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan Penyiasatan SPRM, Hishamuddin Hashim dipetik laporan Utusan Online mengesahkan serbuan pada jam 11.30 pagi itu, menyebutnya cuma ‘prosedur rutin’.

Menurutnya, tiada sebarang kenyataan diambil daripada mana-mana individu sepanjang serbuan itu.

Sebaliknya, beliau berkata pihaknya hanya meminta penjelasan berhubung dokumen yang dirampas itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here