PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan nilai asetnya termasuk penyata akaun Perikatan Nasional (PN).
Beliau yang juga Presiden PKR, mendakwa Muhyiddin dan pengikutnya turut ‘sakau’ wang rakyat dengan meluluskan projek bernilai ratusan bilion tanpa tender terbuka ketika mentadbir negara.
“Adakah ini pemimpin bersih saudara dan saudari sekalian? Wahai Muhyiddin, kamu patut dedah dan terangkan kepada rakyat Malaysia bagaimana projek-projek tanpa tender itu diluluskan. Jangan jadi penakut.
“Dedahkan juga aset kamu dan parti kamu yang tertubuh selepas episod pengkhianatan,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, beliau menghadiri ‘Ceramah Mega Ayuh Malaysia, Kita Boleh’ di Danau Kota, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar menempelak tindakan Muhyiddin yang didakwa hanya berselindung di sebalik Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Wahai Muhyiddin, jangan berselindung di sebalik Hadi Awang yang juga tidak berani mengisytiharkan harta dengan menggunakan berbagai dalil yang sentiasa berubah mengikut citarasa,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengajak rakyat menukar sistem negara yang didakwa telah rosak akibat kerakusan elit politik yang hanya memperkayakan pemimpin, sekali gus menyebabkan rakyat menderita.
“Lihat saja apabila (Datuk Seri) Ismail (Sabri Yaakob) dan Muhyiddin mentadbir negara ketika Covid-19, mereka bukan bantu rakyat.
“Sebaliknya bantu puak-puak mereka dengan agih jawatan menteri, duta khas, dan penasihat khas yang peroleh gaji besar sebaliknya rakyat kian melarat,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar meyeru rakyat menamatkan kuasa pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) daripada kembali berkuasa.
“Beri peluang kepada PH untuk tubuhkan kerajaan bersih dan wibawa. Mandat yang anda berikan merupakan tanggungjawab untuk kami bawa perubahan drastik kepada negara,” katanya.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan mendakwa PN menjadi parti politik paling kaya ketika ini berikutan banyak memperoleh projek bernilai berbilion ringgit ketika tempoh pandemik Covid-19.
Dakwa Anwar, semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri ketika itu, banyak projek dikeluarkan tanpa tender kepada pihak tertentu. – Malaysiapost

