PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada parti kerana berkempen untuk musuh politik.
Ia sekali gus menafikan naratif simpati yang dibawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu kononnya dipecat kerana mengkritik isu 1MDB.
“Adakah mana-mana parti politik akan membiarkan sahaja ahli atau pemimpinnya berkempen untuk musuh?.
“Malah, ketika itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ketua Puteri Umno, menyokong tindakan parti dan menegaskan pemecatan itu patut dilakukan lebih awal.
“Namun malangnya, beliau turut mengkhianati Umno dengan menjadi ‘katak politik’ selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid mengulas kenyataan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mahu hanyutkan Umno ke Sungai Muar.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta lebih 3.39 juta ahli Umno termasuk di Pagoh supaya tidak berasa sedih menyaksikan pengkhianatan berterusan ini.
Katanya, pengkhianatan itu dilakukan oleh seseorang yang suatu ketika dulu bersama-sama membantu karier politiknya ke peringkat tertinggi.
“Tidak mengapa, beliau (Muhyiddin) sudah terpesong jauh daripada perjuangan parti keramat agama, bangsa dan tanah air.
“Gara-gara ketidakpuasan dan mahu lebih daripada apa beliau pernah nikmati ketika bersama Umno,” katanya.
Menurutnya, pemimpin datang dan pergi, tetapi Umno tetap berjuang berpandukan kesetiaan jutaan penyokong akar umbi.
Beliau turut mengingatkan pengundi supaya mengundi parti itu pada 19 November ini untuk memastikan kebangkitan mutlak Umno dan BN.
“Kita pastikan PN dan Bersatu yang akan ‘dihanyutkan’ oleh orang Pagoh ke Sungai Muo pada PRU15,” katanya – Malaysiapost

