RAMAI pengundi di Parlimen Keterah berkenaan masih sayangkan Tan Sri Annuar Musa, kata calon PAS di kerusi itu, Mejar Jeneral (B), Datuk Khlir Mohd Nor.
Beliau berkata, situasi itu dapat dilihat selepas beberapa minggu turun padang berkempen di Parlimen berkenaan.
“Saya telah berjumpa 80,000 pengundi di Parlimen Ketereh. Saya dapati pengundi di sini sayangkan bekas ahli Parlimen Ketereh itu.
“Justeru, saya minta pengundi jika anda sayangkan Annuar Musa, maka pilih saya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini.
“Anda semua perlu menangkan saya bagi menunjukkan kepada pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) bahawa tindakan parti itu tidak mencalonkan Annuar adalah tindakan salah,” katanya pada Ceramah Perdana PRU15 di Kota Bharu malam tadi.
Khlir berkata, tujuan beliau menyertai politik bukan untuk kebendaan, sebaliknya mahu berjihad demi rakyat.
“Usia saya sudah 60-an, dari segi keselesaan hidup saya sudah ada segala-galanya. Selepas diminta oleh pimpinan parti untuk bertanding, saya bermunajat kepada Allah untuk mohon petunjuk.
“Biar saya mati dalam keadaan berjihad demi mempertahankan agama, bangsa dan negara,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Datuk Khlir

