PRU15: ‘Rakyat tidak akan maafkan watak seperti Si Kitol dan kuncunya’

0
1

PERIKATAN Nasional (PN) cuba mengaburi rakyat dengan slogan ‘Bersih dan Stabil’ tetapi pada masa sama berunding untuk bergabung semula dengan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, BN dan PN didakwa hanya ‘bermain wayang’ di hadapan penyokong kedua-dua gabungan itu kononnya saling menolak antara satu sama lain.

“Inilah benih-benih ketidakstabilan yang pernah kita saksikan tiga tahun yang lalu, dan akhirnya para pelabur tidak yakin untuk melabur, ekonomi terus lembab dan rakyat terus merana.

“Rakyat Malaysia mahukan rangka kebijakan yang baru yang mampu mengeluarkan Malaysia dari kelembaban dan ketidakstabilan, dan BN dan PN ternyata tidak akan mampu merealisasikannya,” katanya menerusi Facebook.

Dalam hantaran berasingan, Anwar berkata, rakyat perlu membuat pilihan dengan baik serta tidak sekali-kali terpedaya dengan BN dan PN yang didakwa tidak peka nasib rakyat.

“BN dan PN lebih cenderung menjaga kepentingan pihak bank ketimbang utamakan kebajikan rakyat yang melarat.

“Adakah pemimpin seperti ini yang rakyat mahu angkat menjadi wakil mereka?, katanya.

Anwar juga berkata, rakyat amat sensitif dan bencikan pengkhianatan terhadap amanah yang diberi mereka pada pilihan raya umum yang lalu.

“Seperti direkod dalam lipatan sejarah, rakyat tidak akan memaafkan watak-watak seperti Si Kitol dan kuncu-kuncu mereka merayau mengusung kuasa,” katanya.

Justeru, Anwar menyeru rakyat Malaysia untuk bersama menyokong PH demi sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan berketerampilan, Sabtu ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here