PRU15: BN tidak mampu tubuh kerajaan jika Sabah gagal sumbang kerusi – PM

0
1

BARISAN Nasional (BN) tidak mampu menubuhkan kerajaan sekiranya Sabah gagal menyumbang kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembentukan Kerajaan Persekutuan bergantung kepada kerusi yang akan dimenangi di Sabah.

“Sekiranya Sabah gagal sumbangkan kerusi bermakna, kita mungkin tidak mampu menubuhkan kerajaan.

“Maka, sebagai calon Perdana Menteri ke-10, saya mengharapkan sumbangan daripada Sabah terutama Zon 5. Saya percaya di Sabah, kita boleh memperoleh minimum sebanyak 15 kerusi (GRS-BN).

“Malah saya difahamkan ada 15 kerusi yang disasarkan (menang) di Sabah dan saya berharap kita peroleh lebih daripada jumlah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Libaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gum-Gum, Sandakan, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengingatkan pengundi tidak membiarkan Pakatan Harapan (PH) kembali memerintah negara sekali lagi.

“22 bulan kita hidup dalam sengsara, baru setahun empat bulan kita dapat menikmati kehidupan yang selesa di bawah kepimpinan kerajaan Keluarga Malaysia.

“Jadi kita ada dua pilihan, nak pilih sengsara atau nak pilih kesenangan. Kalau nak pilih sengsara, boleh pilih PH, kalau nak pilih kesenangan dan kecemerlangan pilih BN pada 19 November ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here