PN yakin tubuh kerajaan Sabtu ini, tidak timbul soal gabungan politik

0
1

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yakin Perikatan Nasional (PN) dapat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Beliau berkata, keyakinan itu dizahirkan berdasarkan sokongan pengundi kepada gabungan itu yang didakwa semakin meningkat selain ‘mood’ ditunjukkan rakyat.

Katanya, di sebalik pelbagai ramalan politik, gabungan itu melihat sokongan semakin jelas khususnya dalam kalangan pengundi muda yang mahukan sebuah kerajaan bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Justeru, katanya, tidak timbul soal gabungan politik buat masa ini dan apa dinyatakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hanyalah pilihan sedia ada dan telah sedia diulas oleh pelbagai pihak.

“Namun bagi PN, usaha berterusan bagi membentuk kerajaan PN yang dipilih oleh majoriti rakyat mesti ditingkatkan.

“Rakyat dan penjawat awam telah serik di bawah Pakatan Harapan selama 22 bulan, dan tidak mungkin mengulangi kesilapan lampau.

“Demikian juga dengan BN dengan pelbagai kemelut kluster mahkamah, terpalit dengan salah laku di kalangan sebahagian pimpinan menyebabkan rakyat hanya punyai satu pilihan, iaitu kerajaan PN. Saya yakin kita mampu lakukannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin mendedahkan parti itu akan bergabung dengan BN pasca PRU15 jika pihaknya tidak mendapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan perkara itu dan mendakwa gabungan itu tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN.

Tegas Muhydidin, tujuan PN bertanding dalam PRU15 adalah untuk membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau PH. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here