PH jangan dabik dada – Muhyiddin

0
1

TAN Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak mendabik dada kononnya gabungan itu mendahului parti lawan menjelang hari pengundian, Sabtu ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ini kerana tempoh kempen masih berbaki empat hari dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

“Dalam keadaan macam ni dia boleh kata begitu, tapi kita ada lima (empat) hari lagi. Dia tak boleh mendabik dada kata ada sokongan besar, saya pun boleh cakap begitu.

“Apapun kita serahkan kepada pengundi untuk buat pertimbangan bijaksana,” katanya selepas ceramah PN di Keramat, malam tadi.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, beliau yakin PH sedang mendahului parti lawan dari segi sokongan pengundi berdasarkan data dan kajian setempat.

Muhyiddin yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh berkata, kenyataan Anwar itu menunjukkan beliau hanya mementingkan jawatan.

“Saya dah jelaskan panjang lebar apa yang kita perjuangkan (dalam manifesto), belah sana tak sebut apa-apapun.

“Bagi dia tak penting, bagi dia jawatan saja. Bagi saya bukan jawatan, tapi perkhidmatan yang nak ditawarkan pada negara. Yang itu saya telah sebutkan dalam manifesto saya,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu dalam ucapannya berkata, sebahagian besar orang Melayu menyokong PN ketika ini.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here