Majikan swasta disaran beri cuti dan gaji awal – ABIM

0
1

MAJIKAN sektor swasta disaran mengikut langkah kerajaan memberi cuti dan gaji lebih awal bagi membolehkan pekerja pulang mengundi pada Sabtu ini.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata ia bagi menggalakkan rakyat yang berusia 18 tahun ke atas menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“PRU adalah satu pesta demokrasi yang harus diraikan oleh semua dengan pelaksanaan hak dan tanggungjawab untuk memilih kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang menyambut baik pengumuman cuti dua hari oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha kerajaan itu amat baik demi proses demokrasi.

“Dalam masa sama, ketetepan untuk diawalkan gaji kakitangan awam pada 17 November ini juga adalah satu perkembangan yang harus dipuji,” katanya.

Muhammad Faisal turut berpandangan kedua-dua perkembangan itu adalah satu usaha menggalakkan penjawat awam untuk turun mengundi pada 19 November ini.

Penjawat awam dan pesara kerajaan bakal menerima bayaran gaji serta pencen lebih awal bagi November iaitu masing-masing pada 14 dan 17 November depan berbanding pada 25 hari bulan.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan hari kelepasan am pada 18 dan 19 November ini bagi memudahkan Keluarga Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here