BARISAN Nasional (BN) perlu memastikan memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terlebih dahulu, sebelum menentukan siapakah yang layak dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Perkara itu diberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkata, belum ada perbincangan mengenainya setakat ini.
“Belum bincang lagi, kita bincang itu selepas kita menang. Calon daripada Umno, Sabah, Sarawak, jadi semua keputusan itu selepas kita menang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika turun membantu Khairy Jamaluddin berkempen di Parlimen Sungai Buloh, malam ini.
Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira satu jam menyantuni penduduk di sekitar Seksyen 6 Kota Damansara yang menunggu kehadiran beliau di Restoran Real Tomyam dan bazar Uptown Kota Damansara malam ini.
“Jadi saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang mengundi nanti beri peluang kepada BN, insyallah kita akan lantik TPM seperti yang kita janjikan. Siapa tu kita akan tentukan nanti,” katanya.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan menerima apa sahaja jawatan yang diberikan dalam Kabinet nanti sekiranya BN berjaya menguasai Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
“Saya memiliki hubungan yang baik dengan Perdana Menteri, sebelum ini beliau melantik saya di kementerian yang lebih senior, apa pun saya akan menyokong beliau sebagai Perdana Menteri dan tidak kisah apa jawatan yang diberikan nanti.
“Apa pun seperti kata Perdana Menteri, BN mesti menang pilihan raya ini dulu,” katanya. -Malaysiapost

