PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turun memberi ‘tonik’ kepada Khairy Jamaluddin yang sedang berkempen di Parlimen Sungai Buloh, malam ini.
Dianggap sebagai kubu kuat Pakatan Harapan (PH) , kehadiran Perdana Menteri ‘menggempur’ Parlimen Sungai Buloh membuktikan Barisan Nasional (BN) serius untuk merampas kembali kerusi berkenaan yang terlepas ke tangan pembangkang sejak pilihan raya umum 2008.
Perdana Menteri yang tiba di Restoran Real Tomyam Seksyen 6, Kota Damansara kira-kira pukul 9 malam, disambut meriah penduduk dan penyokong BN.
Khairy yang menyambut ketibaan itu Perdana Menteri dengan berpelukan sambil melaungkan beberapa kali “Ismail Sabri ialah bakal Perdana Menteri”.

Suasana menjadi gamat dengan laungan ‘Hidup KJ’ dan ‘Hidup PM’.
Perdana Menteri bersama Khairy meluangkan masa kira-kira 30 minit beramah mesra dengan penduduk yang hadir ke situ.
“Saya minta, saya merayu pengundi-pengundi di Sungai Buloh memberikan sokongan kepada KJ (Khairy),” itulah kata-kata Ismail Sabri setiap kali bersalam dengan penduduk.

Kemudian, Perdana Menteri dan Khairy telah mengadakan ‘walkabout’ di Uptown Kota Damansara untuk berjumpa rakyat dan peniaga di sana.
Kira-kira 2,000 pengunjung membanjiri Uptown untuk melihat lebih dekat Perdana Menteri dan calon BN di kerusi Parlimen Sungai Buloh itu.
Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau akan all out dalam tempoh baki empat hari berkempen ini.

“Walaupun kempen saya mendapat sambutan diterima positif oleh penduduk, tapi yang paling penting daripada semua itu ialah mereka kena keluar mengundi dan saya dapat undi daripada mereka.
“Kita akan berusaha, tinggal lagi empat hari kempen, saya mempunyai jadual padat dari pagi hingga malam, kita akan ‘all out’.
“Ada angin perubahan di Sungai Buloh, Tiga penggal dibawah PH, ada banyak isu asas perlu diselesaikan, ramai yang mahu suara mereka diwakili wakil rakyat yang berwibawa di Parlimen seperti, berpengalaman, bekerja kuat, personaliti baik dan boleh menyelasaikan masalah di Sungai Buloh,” katanya ketika ditemui media. -Malaysiapost

