Bandar Tanah Merah akan jadi bandar kedua termaju selepas Kota Bharu

0
1

CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz komited membangunkan Bandar Tanah Merah sebagai bandar kedua termaju selepas Kota Bharu.

Ikmal Hisham berkata, beliau mahu memajukan bandar Tanah Merah dari segi pembangunan dan keseluruhannya.

Katanya, seperti Pasir Mas, masalah disebabkan Sungai Kelantan dan ia agak sukar untuk berkembang.

“Namun, Tanah Merah sebaliknya apabila kita boleh lihat dari segi geografi, daerah ini berada di tengah-tengah negeri Kelantan dan luas apabila (kita) boleh ke Barat dan Timur.

“Dari segi pembangunan ia lebih mudah untuk dibawa ke sini untuk saya majukan.

“Saya percaya dan yakin gandingan bersama dua Yang Berhormat, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman yang berada di daerah ini akan dapat memajukan Tanah Merah,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri daripada parti sama, ia akan memudahkan proses pembangunan.

Menurutnya, seperti pembangunan jambatan bertingkat yang datang dari Kerajaan Pusat itu, ia turut memerlukan kelulusan kerajaan negeri.

“Jadi saya dah lalui, ada masalah dan isu perlu membabitkan kelulusan daripada kerajaan negeri dan Pusat. Justeru, kerjasama antara negeri dan Pusat ini akan memudahkan proses kelulusan,” katanya.

Untuk rekod, Tanah Merah bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru apabila Ikmal Hisham yang juga penyandang kerusi bakal ditentang Mohd Bakri Mustapha (BN), Datuk Mohamad Suparadi Md Noor (PH), Mohd Nasir Abdullah (GTA) dan Datuk Nik Sephia Nik Yusoff (Bebas).

Pada PRU14, Ikmal Hisham memenangi kerusi Parlimen Tanah Merah bagi tiket BN sebelum menyertai Bersatu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here