Najamuddin Mohd Nor
Barisan Nasional (BN) yakin penduduk di Parlimen Lumut bijak menilai yang mana kaca atau permata untuk diberi mandat menjadi wakil rakyat mereka.
Calonnya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, rakyat khususnya pengundi di Lumut boleh menjadikannya penanda aras dalam menentukan pilihan terbaik untuk memilih wakil rakyat yang boleh bekerja kepada masyarakat di Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
“Saya berkeyakinan tentang kematangan pengundi di Lumut untuk melihat siapa yang sebenarnya dapat memberikan khidmat terbaik kepada mereka.

“Insya-Allah dengan kematangan, dengan kebijaksanaan pengundi Lumut akan memberi sokongan kepada BN,” katanya kepada Malaysiapost
Dalam PRU14 lalu, Zambry tewas di Parlimen Lumut hanya 400 undi dengan Datuk Dr Mohd Hatta Ramli dari Amanah yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Seramai 67,157 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada 2018 dengan 21,955 pengundi memilih Mohd Hatta manakala 21,555 undi memihak kepada Zambry.
Kali ini, Zambry dan Mohd Hatta yang merupakan Setiausaha Agung parti masing-masing akan berentap sekali lagi di Lumut.

Namun, mereka berdepan saingan lima penjuru dengan Komander (Bersara) Nordin Ahmad Ismail dari Perikatan Nasional (PN), Mohd Isnin Ismail @ Ibrahim Khan (Warisan) dan calon GTA, Mazlan Abdul Ghani turut sama bertanding di sana.
Pada masa sama, Zambry yang juga Ketua Umno Bahagian Lumut turut yakin BN akan mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor dan merampas semula Pasir Panjang.
Katanya, BN mempertaruhkan kerajinan Mohd Rafiq Mohd sebagai orang muda di Pasir Panjang dan Datuk Norzaman Man sebagai muka baru tapi berpengalaman di Pangkor.
“Seperti yang kita lihat calon-calon yang ditampilkan BN adalah calon yang benar-benar boleh bekerja, berikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat di dalam kawasan ini.
“Jadi saya harapkan kepada rakyat di dalam Parlimen Lumut, pengundi-pengundi di sini akan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada calon-calon Barisan Nasional,” katanya.
Pada PRU14 lalu, BN tewas 1-2 kepada PH yang menang di Parlimen Lumut dan DUN Pasir Panjang, namun berjaya mempertahankan Pangkor yang dimenangi Zambry. – Malaysiapost

