Tindakan Khairy ‘balun’ Presiden tak wajar, kata veteran Umno

0
2

VETERAN Umno menyifatkan tindakan Khairy Jamaluddin ‘menyerang’ pucuk pimpinan parti pada pentas kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tidak kena tempat dan belum tiba masanya.

Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihaknya kesal dengan tindakan calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh itu menggunakan kempen PRU15 untuk memburukkan parti sendiri dan berkempen untuk dirinya menjadi Presiden dan Perdana Menteri.

Katanya, tindakan Khairy ‘membalun’ Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ibarat memberi peluru kepada musuh yang menjadikannya modal berkempen untuk memburukkan Umno dan BN.

“Tindakan Khairy itu amat tidak wajar dan tidak kena pada tempatnya. Beliau sepatutnya fokus kepada kempen PRU15 bagi mendapat kemenangan setelah parti dan Presiden memberi ‘sedekah’ kepadanya kawasan Parlimen Sungai Buloh.

“Amat malang apabila ucapannya telah dijadikan modal oleh pembangkang untuk memfitnahkan Umno disaat PRU15 ini apabila Khairy mengatakan sekiranya dia menjadi presiden parti maka dia akan membersihkan Umno. Bersihkah dia?

“Kotorkah Zahid dan pucuk pimpinan yang ada sekarang? Janganlah berlagak hero seperti ayam kokok bergegar-gegar tapi berak merata,” katanya kepada Malaysiapost.

Justeru, Mustapha berkata, Khairy perlu bersabar dan fokus mencapai kemenangan di Parlimen Sungai Buloh terlebih dahulu daripada memikirkan jawatan dalam parti.

“Veteran Ingin menasihati Khairy supaya bersabar. Menangkan dulu parlimen Sungai Buloh. Setelah itu dia boleh berfikir untuk bertanding jawatan Presiden pada bulan Mei nanti.

“Dulu pun dia telah bertanding jawatan itu. Tapi dia kalah. Dia boleh bertanding lagi. Tiada siapa yang boleh melarang dia. Itu hak dia selagi dia ahli Umno yang sah dan tidak dilarang oleh undang-undang.

“Janganlah menjadi manusia lupa budi. Orang bagi bunga awak bagi tahi. Janganlah berasa terlalu hebat kerana ramai lagi yang lebih hebat dari kamu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here