DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob membidas ‘cerita dongeng’ pembangkang kononnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri berkata, musuh politik BN akan terus menggunakan taktik tersebut untuk mengelirukan pengundi, meskipun tahu beliau satu-satunya pemimpin yang diisytihar akan memegang jawatan berkenaan.
“Seluruh BN termasuk Zahid, Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) jelas menyatakan saya satu-satunya calon Perdana Menteri, tetapi kita tahu pembangkang cuba jual cerita dongeng mereka,” katanya dalam temu bual bersama FMT.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno berkata, dakwaan itu direka bukan sahaja bertujuan memecah belah kepimpinan Umno dan BN, malah mendedahkan ketandusan isu pembangkang.
“Mereka cuba menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi dan tentu juga mereka mahu kepimpinan BN dan Umno berpecah.
“Mereka nampak tak ada isu lain yang boleh mereka menggunakan. Hanya menggunakan isu PM ini,” katanya.
Ismail Sabri turut menyifatkan dakwaan yang disebarkan itu sebagai tidak beretika untuk menjejaskan sokongan pengundi terhadap BN.
“Mereka (parti lawan) cuba menggambarkan kemungkinan saya tak menjadi PM supaya menurunkan sokongan kepada BN.
“Mereka mungkin takut saya sebagai calon PM. Saya anggap…ia boleh menjadi satu kekuatan untuk saya untuk menarik pengundi kepada BN,” katanya.
Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mendakwa Zahid yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN mengintai jawatan tertinggi negara meskipun Ismail Sabri diumumkan sebagai “poster boy” BN dan calon PM PRU15.
Pemimpin PH memberi amaran bahawa ‘satu undi kepada BN bersamaan satu undi untuk Zahid menjadi Perdana Menteri’. – Malaysiapost

