PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan pernah ditawar jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 24 tahun lalu.
Menurutnya, pada tahun 1998, Anwar percaya bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan meletak jawatan dan menyerahkan kepimpinan negara kepadanya.
Jelas beliau, malangnya perkara itu terjadi sebaliknya apabila dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu selepas bergaduh dengan Dr Mahathir.
“Kemudian dia (Anwar) datang melawat saya di pejabat ketika saya sebagai Perdana Menteri. Saya beritahu dia, saya cakap minta maaf Anwar, saya kini Perdana Menteri.
“Kamu selamanya tak akan jadi Perdana Menteri selagi berkawan dengan DAP kerana orang Melayu akan tolak kamu,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah PN BEST Parlimen Tambun di Bandar Meru Raya, malam tadi.
Menurut Muhyiddin, sehingga kini Anwar masih bercita-cita menjadi Perdana Menteri dan berharap akan menang kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mengakui Anwar sebagai rakannya, Muhyiddin turut yakin Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu akan berdepan kesukaran menjadi Perdana Menteri kerana lebih 20 tahun meninggalkan kerajaan.
“Kalau 20 tahun sudah meninggalkan pentadbiran kerajaan, nak kembali untuk duduk sebagai Perdana Menteri, saya fikir agak sukar kerana memahami dasar dan tindakan. Saya faham itu.
“Kalau tak ada pengalaman yang tertentu untuk menguruskan negara kita berhadapan dengan risiko besar. Masalah utama rakyat tak mungkin selesai dalam tempoh secepat dimahukan,” katanya. – Malaysiapost

