Serangan Istanbul: Tiada rakyat Malaysia terlibat

0
2

TIADA rakyat Malaysia terlibat dalam letupan di Jalan Istiklal Istanbul, yang setakat ini mengorbankan enam orang dan mencederakan 81 yang lain.

Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, Turkiye menerusi kenyataan berkata, pihaknya sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang terlibat dalam siasatan kejadian itu.

“Pada masa ini, belum ada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian itu.

“Konsulat Jeneral yakin pihak berkuasa tempatan akan bertanggungjawab membawa pihak terlibat ke muka pengadilan,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, Konsulat Jeneral mengingatkan semua rakyat Malaysia supaya peka dengan keadaan sekeliling dan mengelak daripada pergi ke tempat sesak di Istanbul buat masa ini.

Menurut kenyataan itu, Konsulat Jeneral Malaysia boleh dihubungi melalui nombor telefonnya; +90 2129891001/+90 5362896788/+90 5517112174/+90 55389879767 atau alamat e-mel, [email protected].

Konsulat Malaysia turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga mereka, dan berharap mereka yang cedera cepat sembuh.

Enam orang terbunuh dan 81 yang lain cedera ketika letupan menggegarkan laluan pejalan kaki yang sibuk di tengah-tengah Istanbul.

Presiden Recep Tayyip Erdogan menyifatkan serangan bom tersebut berbau keganasan dan serangan keji.

Pihak berkuasa juga percaya ia adalah tindakan pengganas dilakukan oleh penyerang wanita yang meletupkan bom. – Malaysiapost

Kredit Foto: siasat.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here