Rakyat tak lupa derita darurat kuasa di bawah Muhyiddin – Asyraf Wajdi 

0
2

SEMOLEKNYA Tan Sri Muhyiddin Yassin janganlah mengambil kredit atas kejayaan kerajaan hari ini menguruskan ekonomi, kata Pemuda Umno. 

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Muhyiddin sendiri mengaku tahun lalu dengan majoritinya zaman Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjadi Perdana Menteri, 12 peratus rakyat terpaksa mengikat perut dan 31 peratus lagi rakyat tidak mampu membayar hutang. 

Katanya, kenaikan pertumbuhan KDNK bagi suku ketiga 2022 sebanyak 14.2 peratus sebenarnya membuktikan kelemahan pentadbiran Muhyiddin sendiri. 

“Kenaikan yang juga antara tertinggi di dunia ini adalah kerana ia dibandingkan dengan pencapaian suku ketiga tahun lepas (pentadbiran TS). Ketika itu pertumbuhan KDNK kita adalah -4.5%. 

“Kenapa kita seteruk itu sedangkan negara-negara lain seperti Singapura (7.1% kenaikan), Indonesia (3.5% kenaikan) dan Amerika Syarikat (5% kenaikan) semuanya mencatat pertumbuhan positif? 

“Kerana darurat kuasa Tan Sri. Darurat kuasa itu menutup pintu ekonomi rakyat, menghancurkan perniagaan, merosakkan kuasa beli, meleburkan potensi IKS dan akhirnya memberikan kesan kepada kehidupan sosial dan kekeluargaan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. 

Tambah Asyraf Wajdi, bukan setakat itu, Muhyiddin juga lemah dalam menguruskan Covid-19. 

Ini kerana katanya, walaupun menutup ekonomi dan mengurung rakyat dengan PKP separuh masak, tetapi pada ketika itu kadar Covid-19 tetap naik paling tinggi disebabkan dasar ‘flip flop’ Muhyiddin. 

“Betapa deritanya rakyat pada ketika itu sehingga segelintir antara mereka terpaksa mengibar bendera putih untuk meneruskan hidup. 

“Apakah tiada sedikitpun rasa sesal di hati Tan Sri melihat kehidupan rakyat dirosakkan hanya kerana Tan Sri mahu terus berpaut kepada dahan kuasa ketika itu? 

“Kalau tiada sedikitpun rasa kesal, sekurang-kurangnya ambillah sedikit rasa malu sebelum mengaku kejayaan orang lain sebagai kejayaan diri sendiri. 

“Rakyat tidak akan lupa deritanya darurat kuasa di bawah Tan Sri. Kerana itu adalah salah satu bukti kenapa parti Tan Sri tidak layak diberikan mandat untuk mengemudi negara lagi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here