PARTI Warisan (Warisan) sudah mencapai persefahaman dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi membentuk kerjasama blok Borneo, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau bagaimanapun berkata keputusan rasmi mengenai kerjasama itu akan diumumkan tidak lama lagi.
“Sebenarnya, kita memang sudah ada persefahaman, tetapi saya belum mahu mendedahkannya, kita tunggu masa yang sesuai,” katanya, lapor Utusan Malaysia.
Mohd Shafie dalam ceramahnya di Pandang, malam ini berkata sudah sampai masanya angin dari Timur iaitu blok Borneo yang merangkumi Sabah dan Sarawak mentadbir Malaysia.
Katanya, langkah itu selaras agenda untuk membina Malaysia yang baharu dan lebih baik demi kesejahteraan seluruh bangsa serta agama.
“Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sudah perintah negara, saya ingat sampai masanya untuk angin dari Timur (blok Borneo) pula ke Semenanjung.
“Kalau di United Kingdom, orang India boleh jadi Perdana Menteri manakala di Amerika Syarikat, orang kulit hitam dilantik sebagai Presiden, jadi kenapa orang Sarawak atau Sabah tidak boleh?
“Bukan kita mahukan (jawatan) tetapi kita mahu mengubah negara, maka blok Borneo berperanan ke arah Malaysia baharu dan lebih baik,” katanya. -Malaysiapost

