Aiman Hanif
PUSINGAN pertama kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan BN berada di hadapan dengan jangkaan berupaya memenangi 75 kerusi Parlimen.
BN diekori rapat Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan telah memperoleh sokongan padu di 68 kerusi secara kesuluruhannya.
Angka ini berdasarkan tinjauan ataupun kajian sikap kecenderungan pengundi oleh sebuah agensi kerajaan bagi pusingan pertama kempen PRU-15.
Perikatan Nasional (PN) berada di tempat ketiga dengan jangkaan akan memenangi 36 kerusi Parlimen secara keseluruhannya.
“BN dijangka kehilangan beberapa lagi kerusi tradisi dalam PRU-15 ini iaitu di Parlimen Arau, Ketereh, Jeli, Tanah Merah dan Maran.
“PAS mendominasi kemenangan kerusi paling banyak dalam PN berbanding sekutunya Bersatu,” kata laporan itu.
PRU-15 akan berlangsung pada 19 November ini bagi menentukan parti mana yang bakal memimpin kerajaan.
Undi awal PRU-15 pula akan berlangsung pada 15 November ini.
BN mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri, manakala PH menawarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pada itu, kajian sikap yang dijalankan itu menunjukkan GPS berupaya untuk memenangi 25 kerusi Parlimen, GRS 8 dan Warisan 6 kerusi Parlimen.
Parti Bangsa Malaysia (PBM) dijangka akan memenangi satu kerusi dan Pejuang juga dijangka akan memenangi satu kerusi.- Malaysiapost

