PROSES pengundian pos bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula pada 7 November lalu, kata Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata, semua kertas undi pos mula dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tarikh tersebut.
Malah, beliau menegaskan, ejen calon telah dimaklumkan oleh setiap Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengenai tarikh pengeluaran undi pos.
“Justeru, tidak timbul sebarang isu kerana ini proses biasa dalam semua pilihan raya sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ada anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi awal untuk PRU15.
Menurut Wan Junaidi, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, juga sudah membuat kenyataan bahawa proses mengundi bagi anggota tentera yang didaftarkan sebagai pengundi pos telah bermula 7 November lalu.
“Terpulang kepada individu yang berdaftar dan menerima kertas undi pos kerana apa yang penting, kertas undi pos perlu sampai ke Pejabat Pegawai Pengurus berkaitan pada atau sebelum jam 5 petang pada hari pengundian 19 November ini,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Datuk Seri Dr Wan Junaidi

