PN bukan lagi ‘underdog’ berdepan PRU15

0
1

PERIKATAN Nasional (PN) bukan lagi ‘underdog’ untuk berdepan gabungan parti lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya Pengerusi PN itu menegaskan mereka kini sebuah gabungan yang berpengaruh dengan dokongan dan sokongan rakyat, khususnya orang Melayu.

“Saya telah menyaksikan gelombang kebangkitan PN dari utara di Kedah dan Perlis, hingga ke Johor dan Pahang.

“Semalam dan malam tadi juga saya melihatnya di Perak, menerusi sambutan hangat warga Felda Gunong Besout dan Meru di Ipoh.

“Insya-Allah, dengan berkat usaha dan kerja keras serta doa ikhlas kita semua, PN mampu memenangi PRU15 dan membentuk kerajaan yang mendapat mandat rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Tambah Muhyiddin, rakyat tidak boleh salah membuat pilihan kerana tidak mahu sejarah hitam berulang.

“Kita tidak mahu Umno/BN – parti yang terpalit dengan isu kleptokrasi kembali. Kita juga tidak mahu PH kembali. Cukuplah 22 bulan yang cukup menekan dan menyeksakan,” katanya.

Beliau memberi contoh, beberapa contoh kes parti dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak langsung menghormati hak-hak Bumiputera, malah tindak-tanduk mereka menyanggah Perlembagaan dan hak kaum-kaum lain.

Katanya, banyak lagi perkara tidak sepatutnya berlaku yang jika dibiarkan akan membawa musibah besar, lebih-lebih lagi jika pemimpin yang hendak dipilih itu tidak berakhlak.

“PN menawarkan Tawaran PN yang diakui penganalisis politik lebih baik daripada ditawarkan PH dan BN. PN juga terbukti mampu mengurus negara bukan sahaja krisis kesihatan, malah ekonomi.

“Lahirnya PN untuk menawarkan pilihan baharu yang lebih baik kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here