TAN Sri Muhyiddin Yassin mendakwa DAP bukan sahaja tidak menyokong, malah cuba mensabotaj Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pernah mendedahkan apa yang Lim Guan Eng lakukan terhadap TERAJU ketika bergelar Menteri Kewangan.
“TERAJU adalah agensi bertanggungjawab membimbing syarikat-syarikat Bumiputera untuk maju terutamanya dalam bidang-bidang ekonomi yang berdaya saing.
“Dalam sesi rundingan Bajet 2020, Guan Eng tidak beri satu sen pun kepada TERAJU. Walhal, dalam RMK-10 (Rancangan Malaysia Ke-10), TERAJU diberi siling peruntukan RM2 bilion,” katanya dalam hantaran Facebook.
Muhyiddin mendakwa, tindakan Guan Eng itu menyebabkan 200 syarikat Bumiputera terjejas dan 10,000 peluang pekerjaan baharu tidak dapat diwujudkan.
Tambahnya, Guan Eng juga didakwa menulis surat kepada Tun Dr Mahathir Mohamed, Perdana Menteri ketika itu meminta ‘revolving fund’ (dana pusingan) Ekuiti Nasional Bhd (EKUINAS) berjumlah RM2.4 bilion dikembalikan kepada Kementerian Kewangan dan syarikat itu ditutup.
“Satu lagi ialah EKUINAS, iaitu sebuah syarikat milik kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam sektor-sektor ekonomi yang berdaya saing.
“Kerajaan menyediakan peruntukan kepada Yayasan Ekuiti Nasional (YEN) dan YEN menyalurkan peruntukan ini kepada EKUINAS,” katanya.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata cubaan Guan Eng gagal kerana dibantah Azmin selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada masa itu.
Katanya, kerana tidak berpuas hati kerana cubaan menutup EKUINAS gagal, Guan Eng hanya menyediakan peruntukan token sebanyak RM100 kepada kepada syarikat itu dalam Baejt 2020.
“Apa yang boleh dibuat dengan peruntukan hanya RM100? Sedangkan fungsi EKUINAS ialah untuk menyuntik modal pelaburan dalam sektor strategik dan kompetitif untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam rantaian ekonomi bernilai tambah tinggi.
“Datuk Seri Azmin beritahu saya beliau terpaksa merayu kepada Tun Mahathir supaya peruntukan kepada TERAJU dan EKUINAS dinaikkan. Ada bukti surat yang ditunjukkan kepada saya.
“Ini adalah satu bentuk sabotaj terhadap Agenda Bumiputera. Jadi jangan tanya saya lagi kenapa saya dan rakan-rakan yang lain tinggalkan PH.
“Saya ingatkan pengundi Tambun supaya jangan undi PH yang dikuasai oleh DAP,” katanya. – Malaysiapost

