PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa berlaku peningkatan sokongan di kalangan pengundi Cina dan India terhadap Barisan Nasional (BN) dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), ketika ini.
Beliau yang juga Pengerusi BN, berkata peratusan pengundi Cina pada ketika ini meningkat kepada 10 peratus hingga 15 peratus berbanding hanya lima peratus pada PRU14.
Katanya, bagi pengundi India pula peningkatan yang agak ketara berlaku iaitu antara 45 peratus hingga 55 peratus berbanding sekitar 15 peratus pada PRU lalu.
“Kita harap trend dan gelombang ini boleh meningkat lagi,” katanya ketika ditemui selepas ceramah umum di kawasan Kuala Buloh, Bagan Datuk malam tadi.
Terdahulu ketika menyampaikan ceramah, Ahmad Zahid menekankan nilai hormat menghormati antara kaum dan agama amat penting untuk menjamin kestabilan dan kemakmuran negara.
Malah katanya, dalam Islam sendiri menganjurkan supaya umatnya mengamalkan menghormati agama lain untuk membolehkan Islam dihormati oleh penganut agama lain juga.
Dalam pada itu, pada program lain Ahmad Zahid berkata, hasrat Menteri Kesihatan yang juga bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin untuk menjadi Perdana Menteri satu hari nanti bergantung pada diri beliau sendiri.
“Beliau mesti menguatkan parti, bukan melemahkan parti. Beliau mesti menang di Sungai Buloh. Beliau juga mesti diterima parti dan tidak menyanggah parti.
“Kita boleh berbeza pendapat. Tapi kalau tunjuk diri terbaik, terpandai, paling bijaksana. Itu ertinya perasan,” katanya. – Malaysiapost

