PENGUNDI tidak perlu termakan hasutan pembangkang yang mendakwa Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi Perdana Menteri jika BN menguasai Putrajaya.
Jelas Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno telah membuat ketetapan bahawa Ismail Sabri Perdana Menteri jika BN menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Secara peribadi saya rasakan Ahmad Zahid telah perjelaskan dengan sejelas-jelasnya sebelum penamaan calon lagi yang mana MKT telah membuat ketetapan yang mana Ismail Sabri calon Perdana Menteri yang dipilih Umno.
“Dan dipersetujui MKT Umno, ketetapan itu nasih sama dan tidak berubah,” katanya kepada media di Kuala Lumpur, hari ini.

Pembangkang memainkan naratif bahawa Ahmad Zahid akan menjadi Perdana Menteri jika BN kembali berkuasa, bukannya Ismail Sabri.
Bagaimanapun perkara itu dinafikan pemimpin Umno termasuk Ahmad Zahid sendiri.
Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad antara pemimpin yang aktif berkempen dengan naratif sebegitu bagi menewaskan BN.
Dalam pada itu Nurulhidayah berkata Umno tidak boleh mengelak provokasi sebegitu daripada pihak lawan yang berusaha untuk menumbangkan BN.
“Kita terus kekal dengan ketetapan itu, Insya- Allah calon Perdana Menteri bagi BN masih lagi Ismail Sabri,” katanya.- Malaysiapost

