Fokus kempen BN adalah menawarkan yang terbaik untuk rakyat – Shahril Hamdan

0
2

SEPANJANG kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bermula 5 November lalu, Barisan Nasional (BN) fokus kepada tawaran-tawaran terbaik untuk rakyat, manakala pihak lawan hanya memainkan naratif yang tiada kaitan dengan rakyat.

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan, berkata setakat ini lawan Umno dan BN hanya menunjukkan satu dimensi kempen sahaja.

“Apa yang lebih menarik kalau ingin bercakap mengenai penerangan ini adalah betapa satu dimensi kempen pihak lawan. Kempen pihak lawan sangat mudah tanpa tawaran yang menarik untuk rakyat.

“Apa yang mereka kata cuma undi BN bermakna Datuk Seri Najib Razak akan keluar penjara…undi BN bermakna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan ditipu dan orang lain akan jadi Perdana Menteri. Tidak ada kena mengena dengan rakyat pun,” katanya.

Beliau yang juga calon BN Parlimen Alor Gajah berkata demikian ketika ditemui di program ‘walkabout’ bersama penduduk Taman Sebang Gemilang, Alor Gajah, hari ini.

Shahril menegaskan, naratif dimainkan lawan BN itu tidak benar kerana calon Perdana Menteri BN sudah ditetapkan oleh parti dan telah disahkan oleh Presiden Umno yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkali-kali.

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan.

“Tetapi mereka tetap mainkan naratif itu. Saya nak ingatkan rakyat, orang yang menang pilihan raya dan keluarkan pemimpinnya dari penjara bukan BN ia adalah parti lain.

“Jadi kena tengok parti mana yang keluarkan (pemimpin) dari penjara, parti mana yang lepas menang gugurkan kes pemimpinnya..bukan parti BN.

“Sekarang ini Perdana Menteri adalah daripada BN dan bekas Presiden Umno juga masuk penjara, tidak ada pun nak salah gunakan kuasa atau campur tangan…kalau nak tuduh perkara itu, bukan BN, sebenarnya orang lain,” katanya.

Menurutnya, BN lebih fokus kepada manifesto dengan tawaran kepada rakyat contohnya yang telah diumumkan baru-baru ini iaitu inisiatif Skim Bantuan Pendapatan Asas.

“Dimana isi rumah yang kurang RM2,208 akan mendapat bantuan secara automatik daripada kerajaan. Ini satu bantuan atau kaedah yang radikal, tidak lagi kita tunggu Perdana Menteri membuat sidang media dan buat pengumuman tetapi ia secara automatik.

“Kalau pendapatan isi rumah bawah daripada garis kemiskinan kerajaan akan beri bantuan secara automatik. Ini satu benda yang tidak pernah dibuat..itu yang kita fikir..itu yang BN selama ini ‘pecah kepala’ fikir apa yang sesuai kita tawarkan kepada rakyat. Bukan janji bulan dan bintang, bukan benda yang boleh Terbang tetapi benda yang nyata dan praktikal,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, kesemua program-program yang diaturkan sepanjang tempoh berkempen di seluruh negara setakat ini berjalan lancar dan mengikut perancangan.

“Berdasarkan laporan yang saya terima, hampir semua parlimen mengikut jadual program yang diatur seperti ceramah kecil-kecilan di tempat-tempat tertentu.

“Akan ada rapat umum yang lebih besar dan semuanya sedang berjalan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here