Banjir: Kesiapsiagaan bomba di tahap paling tinggi – Reezal Merican

0
1

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada pada tahap kesiapsiagaan paling tinggi bagi menghadapi bencana banjir susulan keadaan hujan lebat berterusan di beberapa kawasan seluruh negara ketika ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata kesiapsiagaan JBPM dalam menghadapi bencana banjir sebenarnya sudah dimulakan lebih awal lagi.

Beliau berkata, sebarang kebarangkalian membabitkan semua aspek termasuk laporan daripada Jabatan Meteorologi juga diambil kira.

“Dari segi ramalan cuaca..semakin dekat ramalan semakin tepat. Saya mendapat laporan terperinci sebarang kecemasan seperti nahas helikopter di Cameron Highlands baru-baru ini.

“Dalam menghadapi bencana banjir bomba berada dalam tahap kesiapsiagaan yang amat tinggi,” katanya ketika ditemui di Majlis Kenduri Rakyat bersama calon Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, di Kampung Bukit Cerakah, hari ini.

Reezal Merican berkata, keseua aset-aset JBPM juga sudah ditempatkan di lokasi-lokasi berisiko, selain cuti pegawai dan anggota turut dibekukan.

“Dari segi penugasan juga ada yang telah dipanjangkan daripada 12 jam ke 24 jam demi meletakkan bomba di tahap kesiapsiagaan yang paling tinggi.

“Seramai 29,000 pegawai dan anggota bomba telah bersiap sedia jika berlakunya bencana banjir,” katanya.

Beliau berkata, dari segi jentera dan aset bagi pasukan bomba juga sudah banyak ditambah selepas bencana banjir besar sebelum ini melalui perolehan ketika darurat yang banyak membantu.

“Sebagai contoh bot-bot tertentu yang akan digunakan untuk memasuki kawasan banjir membabitkan kawasan-kawasan Perumahan yang sukar dimasuki jentera besar.

“Penggunaan aset baru seperti ‘remote life buoy’ yang menggunakan kawalan jauh. Semua perolehan ini akan membawa kepada operasi menyelamat pasukan bomba ini jauh lebih berkesan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here