PENCERAMAH bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, memohon maaf kepada pengundi Barisan Nasional (BN) Parlimen Larut kerana membatalkan hasrat bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jelasnya, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira prinsip untuk menjaga hubungan keluarga serta amanat arwah ibunya.
Ia susulan abangnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau mewakili Perikatan Nasional (PN-Bersatu).
Menurutnya, sebelum menerima pelawaan daripada kepimpinan Umno, beliau telah memaklumkan tidak mahu bertanding dengan ahli keluarga dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sama.
“Beberapa rundingan dilakukan bersama dengan saudara-saudara kandung saya, sehinggalah saya mengambil keputusan untuk menandatangani watikah dan akujanji sebagai calon Parlimen Larut.
“Dalam masa sama, abang saya juga menandatangani wakil parti yang berbeza. Masing-masing tidak mengetahuinya ketika tandatangan.
“Saya hormati dia dan beri laluan kepadanya,” katanya dalam sidang media di Kompleks Darul Barakah, Manjoi, hari ini.
Menurut Ustaz Kazim, beliau telah mengutus surat kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk memaklumkan penarikan diri itu tetapi difahamkan surat itu hanya diterima selepas pengumuman calon BN.
Pada 2 November lalu, Mohd Kazim menarik diri daripada bertanding mewakili BN di Parlimen Larut dan digantikan dengan Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud.
Mohd Shafiq akan bertemu Auzaie Fadzlan Shahidi (Pejuang), Zolkharnain Abidin (PH) dan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN). – Malaysiapost

