DATUK Seri Shahidan Kassim mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Arau dengan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Umno Bahagian Arau yang digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN), berkata keputusan itu dibuat kerana melihat PN boleh menjadi platform yang mampu menyatukan Umno, PAS dan Bersatu.
Menurutnya, beliau memilih untuk bertanding tiket PN kerana ia satu parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
“Walaupun Umno pun mempunyai matlamat sama, namun ia kini dipimpin oleh seorang yang mengkhianati keputusan bahagian terutama di Arau.
“Calon (Umno/BN) yang bertanding kali ini sangat menyedihkan apabila tiada satu senarai calon yang dikemukakan oleh bahagian dipilih,” katanya dipetik Berita Harian.
Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian kepada pemberita di Pusat Khidmat Datuk Seri Shahidan Kassim di Kubang Gajah, hari ini.
Pengumuman rasmi calon PN yang akan bertanding di Parlimen Arau akan dilakukan di Kompleks PAS Perlis, Kangar malam ini. – Malaysiapost

