Tok Pa tarik diri, tak tanding di Jeli?

0
1

PENYANDANG kerusi Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dikatakan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu dikatakan mengambil keputusan demikian atas faktor kesihatan walaupun pada awalnya dicalonkan di kerusi itu, lapor Berita Harian.

Sebelum ini dikhabarkan Perikatan Nasional (PN) akan meletakkan Setiausaha Politiknya, Zahari Kechik untuk bertanding di Parlimen tersebut.

Mustapa yang lebih dikenali sebagai Tok Pa menyandang kerusi Parlimen Jeli selama enam penggal sejak 1995.

Sementara itu, Zahari ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan Mustapa tidak akan bertanding di Parlimen berkenaan.

“Beliau tidak bertanding atas faktor kesihatan dan doktor meminta beliau berehat,” katanya.

Ditanya adakah benar beliau yang akan menggantikan Mustapa di kerusi itu, Zahari berkata ia hanya desas desus dan beliau sendiri belum dimaklumkan.

“Jika benar saya dipilih, saya akan terima. Namun setakat ini saya belum dimaklumkan oleh pihak parti dan sehingga tengahari ini saya belum menerima jemputan untuk majlis pengumuman calon malam ini,” katanya.

Mustapa sebelum ini memenangi Parlimen Jeli pada PRU14 atas tiket Barisan Nasonal (BN) sebelum menyertai Bersatu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here