KEPUTUSAN mengekalkan pemimpin yang keras kepada adalah malapetaka bagi Umno, kata Datuk Mohd Puad Zarkashi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu menegaskan golongan tersebut tidak patuh dengan keputusan parti malah menjadi bebanan yang mengkucar-kacirkan Umno.
“Beberapa pemimpin heavyweight digugurkan. Ada yang mengancam ‘malapetaka’ besar akan berlaku. Mereka lupa akar umbi Umno di bawah yang menentukan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Mohd Puad berkata, walaupun segelintir ada yang tidak menghormati apa diputuskan parti, namun akar umbi diyakini akan setia dengan keputusan Umno.
“Akar umbi Umno diyakini akan setia kepada keputusan parti. Segelintir yang di atas boleh menyalak seperti anjing menyalak bukit.
‘Lebih baik mereka digugurkan. Sikap mereka jadi senjata kepada pihak lawan menghina parti. Ia menyakitkan hati ahli Umno. Biar mereka direhatkan dulu,’ katanya.
Terdahulu, media melaporkan Datuk Seri Shahidan Kassim yang digugurkan namanya daripada pencalonan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tetap mahu bertanding walaupun perlu menggunakan tiket parti lain.
Beliau membuat keputusan itu selepas kecewa dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mencalonkannya semula di kerusi parlimen Arau.
Menteri Wilayah Persekutuan itu turut mengkritik kepimpinan Presiden parti yang disifatkan sebagai pembohong kerana gagal menunaikan janji.
Sehubungan itu, Shahidan mahu Ahmad Zahid melepaskan jawatannya sebagai Presiden dan digantikan dengan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Malaysiapost

