CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin yakin dapat memikat hati pengundi di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
Beliau berkata, tempoh empat tahun menetap di kawasan itu cukup untuk mengenali masyarakat setempat dan mengetahui pelbagai masalah yang membelenggu penduduk.
“Saya tinggal di sini sejak 2018 dan rumah pertama saya adalah di Pangsapuri Larai sebelum berpindah ke Presint 10.
“Ketika itu saya banyak bergaul dengan komuniti setempat khususnya jawatankuasa masjid dan surau, masyarakat, kepimpinan masyarakat, persatuan penduduk dan persatuan sukan.
“InsyaAllah, jaringan yang ada dengan kakitangan awam semasa di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Pendidikan memberi ruang yang sebaiknya untuk saya menyantuni pengundi di sini,” katanya.
Beliau berkata kepada media selepas Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 16 (1), Putrajaya, hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan itu menegaskan, beliau yakin dapat melonjakkan kawasan pentadbiran itu ke tahap lebih baik sekiranya diberikan mandat.
“Banyak perkara disampaikan kepada saya, walaupun Putrajaya ini adalah bandar pentadbiran serta terancang namun banyak perkara perlu ditambahbaik antaranya penyelenggaraan kuarters dan tiada pengangkutan awam untuk anak ke sekolah.
“Kalau dulu anak pergi sekolah dengan bas, tetapi kini ibu bapa terpaksa menghantar berikutan ketiadaan bas di Putrajaya. Selain itu ruang parkir juga menjadi isu di bandar ini,” katanya.

Sebelum ini Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu sebagai calon gabungan itu di Parlimen Putrajaya.
Parlimen Putrajaya disandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada Umno apabila menang dengan 12,148 undi pada PRU-14 menewaskan calon PAS, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat. – Malaysiapost

