KONSEP Keluarga Malaysia yang berpaksikan tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran kini sudah semakin sebati dengan seluruh rakyat, khususnya di negeri Pahang.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail sabri Yaakob, berkata konsep berkenaan melambangkan keteguhan negara yang berlatarkan pelbagai agama dan bangsa.
Menurutnya, ia juga bersifat inklusif, dilengkapi nilai institusi kekeluargaan yang sentiasa berperanan membela nasib dan memastikan tiada sesiapa yang terpinggir.
“Saya amat gembira melihat Keluarga Malaysia di negeri ini yang mampu hidup secara harmoni dan saling membantu antara satu sama lain seperti sebuah keluarga, ibarat “lemah menapis, condong menopang”.
“Saya yakin dengan menjunjung semangat Keluarga Malaysia, kita bukan sahaja dapat mewujudkan kestabilan politik dan ekonomi, malah dapat mengekalkan keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Pahang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), Kuantan, hari ini.
Ismail Sabri berkata, amalan itu juga selari dengan nilai tasamuh atau toleransi yang menjadi acuan dalam mengukuhkan keharmonian masyarakat majmuk seperti yang saya ingin terapkan dalam diri seluruh Keluarga Malaysia
“Nilai tasamuh yang dituntut dalam Islam ini, bukan sahaja membolehkan rakyat terus membangun sehingga dihormati tetapi juga dapat mengelakkan daripada sebarang perbalahan yang sia-sia,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan negeri Pahang terutama Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dan seluruh warga Kerajaan Negeri selaku tuan rumah JAKM.
“JAKM siri ke-12 di Pahang ini adalah destinasi terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan berlangsung pada 19 November ini,” katanya. – Malaysiapost

