Majoriti rakyat rindu BN kembali dominan sebagai kerajaan – Zahid

0
2

MAJORITI rakyat sedang merindui Barisan Nasional (BN) untuk kembali dominan sebagai kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN itu berkata, rakyat merindukan BN untuk dominan semula selepas kesengsaraan yang ditempuhi selama 39 bulan dibawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“BN membawa `kestabilan dan kemakmuran’ di setiap masa dan di mana sahaja bukan suatu mitos.

“Ia bukan rekaan atau populisme politik kerana telah terbukti di Melaka selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) dilangsungkan pada November 2021,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, perkara itu sekali lagi terbukti benar di Johor setelah BN kembali mendominasi pentadbiran negeri itu pada Mac lalu menerusi PRN Johor.

Katanya, Malaysia menyaksikan Johor selepas kembali sepenuhnya kepada BN mencatatkan pelaburan paling tinggi dalam negara.

Ujar beliau, sebanyak RM60.9 bilion sekali gus menjadi pelaburan tertinggi pernah dicatatkan negeri itu berbanding RM24.5 bilion pada 2019.

Tambah Ahmad Zahid, Melaka selepas didominasi kembali kerajaan BN berada di kedudukan kelima dalam pelaburan bagi sektor pembuatan.

“Pelaburan yang telah mewujudkan begitu banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Melaka. Ekonomi Melaka berkembang positif dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan 2.9 peratus setakat Mac lalu.

“Manakala kadar pengangguran mencatatkan kedudukan kedua terendah membuktikan pentadbiran kerajaannya.

“Pahang di bawah pentadbiran BN berjaya mengurangkan hutang kerajaan negeri daripada RM3 bilion kepada RM950 juta.  Begitu juga kejayaan-kejayaan yang dicatatkan di negeri lain yang masih BN sebagai kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata, sehubungan itu rakyat perlu menginsafi kekhilafan yang terjadi pada PRU-14 angkara pembohongan, fitnah dan janji palsu.

Dalam masa sama, apa yang akan dipastikan BN dan rakyat berpisah tiada, seiring sejalan dalam mengembalikan `kestabilan dan kemakmuran’ untuk semua.

“Insya-Allah kesinambungan dapat diteruskan dengan manifesto PRU-15 BN yang realistik serta berkesan bakal ditawarkan. Harapan rakyat ini perlu dipenuhi oleh seluruh jentera BN dengan berusaha kuat memenangkan BN pada 19 November nanti.

“Kepada Allah SWT jua kita memohon bantuan dan pertolongan selepas segala daya upaya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here