Najamuddin Mohd Nor
LIM Guan Eng sepatutnya memperjuangkan pemansuhan sekolah vernakular sekiranya mahu rakyat Malaysia tidak terjerat dalam isu kaum dan agama.
Demikian kata Ahli Dewan Negara, Dr Azhar Ahmad membidas Pengerusi DAP itu yang menyeru rakyat Malaysia tidak berfikiran sempit perkauman dan agama.
Guan Eng juga dilapor memberi contoh Rishi Sunak yang berketurunan India mencipta sejarah dilantik menjadi Perdana Menteri Britain di negara yang kaumnya minoriti.
Pada masa sama, Dr Azhar berkata situasi di Britain dan Malaysia berbeza sama sekali, antaranya di sana tiada sekolah mengikut kaum tertentu.
“Sekolah Cina bagi buat, sekolah India bagi buat tapi ada tak sekolah macam ni di negara-negara lain? Di Thailand ada tak sekolah Melayu di sana? Tak ada dan semua sekolah di sana semua guna bahasa Thailand.
“Malaysialah satu-satunya yang mengamalkan semua bangsa, semua budaya dan semua ada sekolah masing-masing.
“Ia hanya menjarakkan perhubungan dalam satu masyarakat. Sepatutnya hanya satu sekolah dan semua kaum wajib belajar di situ, barulah kena dengan Keluarga Malaysia.
“Ni nak jadi Keluarga Malaysia macam mana, India sekolah lain, Cina sekolah ain. Guan Eng dan PH patut perjuangkan hapus sekolah-sekolah jenis kebangsaan ini dulu, jangan suka usik hak orang Melayu tapi bila hal yang sentuh sekolah vernakular dia senyap,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Azhar menegaskan, Perlembagaan yang diguna pakai di Britain berbeza dengan Perlembagaan di Malaysia yang dicipta untuk melindungi hak dan keistimewaan kaum pribumi.
“Boleh tak ada masalah (jadi Ahli Parlimen), tapi janganlah menyakitkan hati kaum pribumi. Mereka boleh bertanding di pilihan raya dan sebagainya.
“Kalau mereka boleh menguasai Parlimen dan menang bolehlah mereka nak jadi menteri dan sebagainya. Tapi Perdana Menteri dalam Perlembagaan masih hak orang Melayu Islam.
“Kalau mereka tak dapat jadi Perdana Menteri pun, mereka dah ada segala-galanya. Ni orang kata bagi betis nak paha dan kaduk naik junjung, jadi hati-hatilah dengan puak-puak ni yang sentiasa tak sedar diri,” katanya. – Malaysiapost

