SIKAP hipokrit Pakatan Harapan (PH) akan terserlah sekiranya tidak melabelkan Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai ‘kluster mahkamah’.
Ini selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan penyandang kerusi Parlimen Muar itu membela diri atas empat pertuduhan termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebelum ini PH melabel kluster mahkamah kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi walaupun selepas Presiden Umno itu dibebaskan tuduhan berkaitan Sistem Visa Luar Negara (VLN).
“Sudah tentulah kes ini masih berjalan. Namun hari ini kita akan mula melihat bagaimana hipokrasi PH akan bermula.
“Jika mereka boleh menuduh Presiden Umno kluster mahkamah walaupun telah dibebaskan dalam 40 pertuduhan VLN sebelum ini, adakah mereka akan melakukan perkara sama kepada Syed Saddiq?
“Rakyat akan melihat dan menilai betapa keadilan yang PH junjung selama ini hanyalah hipokrit dan bersifat terpilih,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Syed Saddiq membela diri berhubung empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Keputusan itu dibacakan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan itu.
Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan untuk Syed Saddiq membela diri bermula 22 hingga 24 Februari serta 13 dan 14 Mac dan 10 hingga 14 April tahun hadapan. – Malaysiapost

