NAIB Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin diumum sebagai calon gabungan itu bagi kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perkara itu diumum Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin, pada program Jelajah Prihatin PN di Putrajaya, malam tadi.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, pengumuman itu menjawab pelbagai khabar angin yang bertiup selama ini.
“Calon yang nak kita letak di Putrajaya adalah Datuk Dr Radzi Jidin. Saya umum awal lagi. Malam ini sahih, ini calon kita di Putrajaya.
“Saya tak tahu siapa nak lawan, lawanlah. Tapi saya nak beri nasihat sikit kepada kawan saya Ku Nan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor). Ku Nan telah buat sesuatu di Putrajaya, tetapi cukuplah Ku Nan.
“Sekarang tiba masa untuk kita ubah dan perubahan itu akan dilakukan oleh PN di bawah Radzi,” katanya.
Pada PRU-14, Radzi bertanding di kerusi Parlimen Ketereh namun tewas kepada Tan Sri Annuar Musa sebelum dilantik sebagai Senator pada 17 Julai 2018.
Tengku Adnan pula mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya apabila menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan PKR Datuk Dr. Samsu Adabi Mamat.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan slogan PN untuk PRU15 iaitu ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ dengan laungan ‘PN Best!’. – Malaysiapost
Kredit Foto: Harian Metro

