PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersyukur kesemua 30 krew penggambaran filem yang dilaporkan terperangkap di dalam Gua Tempurung, Perak akibat banjir kilat petang tadi berjaya diselamatkan.
Menurutnya, kesemua 30 mangsa telah berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan oleh Komander Operasi bahawa kesemua 30 mangsa telah berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Terima kasih pasukan penyelamat Bomba dan Polis Gopeng,” katanya di Facebook.

Terdahulu, beliau memaklumkan menerima maklumat mengenai kejadian itu dan meminta pihak berwajib untuk memberikan kemaskini mengenai status operasi dari semasa ke semasa.
Media melaporkan, 30 krew filem berkenaan terperangkap dalam Gua Tempurung, susulan laluan keluar dipenuhi air akibat hujan lebat.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud mengesahkan kejadian itu dan menurutnya air naik mendadak di laluan keluar gua berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak jam 3 petang tadi.
Sementara itu, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng pada jam 4.04 petang. – Malaysiapost

