“SAYA berharap yang terbaik,” kata penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok akan membuat keputusan sama ada beliau akan dipanggil membela diri atau dibebaskan, atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Menurut Syed Saddiq menerusi hantaran di Facebooknya hari ini, beliau meletakkan kepercayaan penuh kepada institusi kehakiman dalam kes mahkamah dihadapinya.
“Yang akan datang bersolidariti, kita jumpa pagi. Semoga kebenaran ditegakkan. Doakan saya,” katanya lagi.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid dijadualkan membacakan keputusan pada akhir kes pendakwaan pada jam 9.30 pagi.
Jika keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Syed Saddiq, 29, beliau akan dipanggil membela diri, manakala jika sebaliknya Presiden MUDA itu akan dilepas dan dibebaskan.
Pada 27 September lalu, pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula 21 Jun, manakala pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 6 Oktober.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana ARMADA berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan dikemuka mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu.
Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini di antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya, ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, iaitu hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

